Tinta Shila Hamzah
Tiba-tiba pagi ni ternampak ramai yang tweet tentang tinta Shila Hamzah. Jadi search di web dan terjumpa tinta Shila Hamzah di mymetro.
"Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca tinta Shila.
Syukur alhamdulillah, kita masih dipanjangkan usia sehingga hari ini dan pada saat ini.
Walaupun masih ramai yang mengeluh mengenai kekurangan dalam kehidupan masing-masing, Allah SWT memberikan kita peluang setiap hari untuk kita berusaha memperbaiki kekurangan dan setiap kelemahan dalam kehidupan kita.
Alangkah nikmatnya kita masih boleh berpakaian sempurna, cukup makan dan minum meskipun ada di antara kita kurang bernasib baik seperti dilanda bencana alam dan sebagainya.Syukur alhamdulillah, kita masih dipanjangkan usia sehingga hari ini dan pada saat ini.
Walaupun masih ramai yang mengeluh mengenai kekurangan dalam kehidupan masing-masing, Allah SWT memberikan kita peluang setiap hari untuk kita berusaha memperbaiki kekurangan dan setiap kelemahan dalam kehidupan kita.
BERSAMA trofi Anugerah Kembara.
Kurang seminggu lagi tahun 2013 bakal melabuhkan tirainya. Apa yang Shila boleh katakan, tahun ini adalah tahun paling sukar sepanjang 23 tahun Shila hidup di bumi Allah SWT ini.
Dari kecil, remaja hingga meningkat dewasa, banyak yang Shila sudah tempuhi. Masalah kewangan, masalah di sekolah, masalah kerjaya dan macam-macam lagi semuanya Shila dapat tempuh sebaiknya.
Namun tahun ini, Shila diduga dengan sesuatu yang luar biasa, memberi tamparan hebat kepada Shila dari segi mental dan fizikal.
Sejujurnya Shila tidak pernah menyesal untuk melalui semua ini. Sebaliknya Shila cukup bersyukur kerana dalam usia yang muda Shila sudah diuji dari pelbagai sudut.
Dan yang paling Shila bersyukur, walau apa pun yang terjadi, tidak pernah sekali pun Shila patah semangat untuk mengejar apa yang Shila impikan selama ini.
Shila yakin setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Setiap benda besar yang kita mahu dalam hidup kita, pasti diselangi dengan ujian yang besar juga.
Shila juga yakin seandainya kita ada sokongan yang padu daripada keluarga dan kawan-kawan, insya-Allah apa saja cabaran kita boleh tempuh dengan mudah.
Di sinilah pentingnya hubungan sesama manusia. Tidak perlulah berkasar bahasa dan membenci antara satu sama lain walau apa pun alasannya kerana setiap perkara yang terjadi ada yang tersirat.
Shila pun ada kekhilafan dan masih banyak yang Shila sudah belajar dan akan terus belajar.
Kini pengembaraan Shila diteruskan lagi dengan penuh semangat apabila Shila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kembara dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-20, baru-baru ini.
Shila sangat berterima kasih kepada Persatuan Industri Rakaman (RIM) atas anugerah ini yang sememangnya disertai dengan tanggungjawab yang cukup besar.
Namun dengan semangat jitu yang lahir dari dalam diri Shila sebagai seorang anak seni, Shila akan galas tanggungjawab ini sebaiknya dan terus mengharumkan nama negara.
Di Malaysia mungkin Shila sudah boleh berlari, tetapi di pentas antarabangsa Shila baru bertatih.
Seorang karyawan seni sejati melahirkan seluruh keghairahan seninya untuk berkarya tanpa memikirkan apa atau berapakah ganjaran yang akan diperoleh.
Dengan segala rasa rendah diri, Shila ingin menyatakan bahawa anugerah ini bukan milik Shila Amzah seorang. Ia adalah milik ibu bapa, adik-adik Shila, orang-orang yang memainkan peranan besar dalam kerjaya Shila seperti Ong Peng Chu, Helen Yap, Aubrey Suwito, Shila Amzah Entertainment Berhad, Shanghai Media Group, Warner Music Malaysia, Shilalas dan semua yang menyokong industri muzik Malaysia.
Sebenarnya belum terlambat untuk Shila ucapkan tahniah kepada seluruh tenaga produksi yang menjayakan AIM-20 baru-baru ini dengan jayanya! Apa yang Shila boleh katakan ini adalah penganjuran AIM yang terbaik dari segi pemilihan persembahan, pencahayaan, rekaan pentas dan segala-galanya yang begitu teratur.
Tahniah dan syabas kepada anda semua. ‘I had a great time!’
Shila juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang anugerah dan teruskanlah berkarya sehabis baik demi memartabatkan industri muzik kita.
Banyak yang Shila dapat pelajari daripada penyanyi senior seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Dayangku Intan, Jay Jay dan Zainal Abidin.
Shila begitu tertarik dengan ukhwah persahabatan yang terjalin antara mereka ini yang jarang sekali Shila nampak dalam kalangan artis-artis baru.
Shila nampak artis-artis senior lebih peramah, mereka buat Shila rasa lebih dihargai dan mereka ibarat keluarga besar dalam dunia seni. Artis-artis junior pula bukan tak peramah, cuma mungkin mereka lebih suka untuk buat hal masing-masing dan duduk di kelompok mereka saja.
Secara peribadi, Shila rasa perkara ini perlu diubah kerana ia akan menghasilkan yang negatif berbanding positif.
Apa yang kita buat hari ini berdasarkan minat dan cinta kita kepada seni. Bukankah lebih menyeronokkan jika kita mendapat peluang melakukan sesuatu yang kita suka setiap hari?
Kalau ini dapat diubah, maka setiap majlis anugerah kita akan jadi lebih baik dan meriah. ‘Trust me’.
Dalam setiap majlis, kita sebagai artis perlu bergaul. Peminat sudah memberi, penganjur sudah melakukan yang terbaik dan majlis yang diadakan pun bukan untuk orang lain, tapi untuk kita!
Jadi sahabat-sahabat Shila yang sedang baca tu, kalau terasa hati Shila minta maaf ya, ‘but please think about it’.
Baiklah, tahun ini Shila akan menyambut tahun baru di Shanghai kerana terbabit dalam acara persembahan. Apa yang Shila harapkan agar tahun depan jauh lebih baik berbanding tahun ini.
Shila juga ingin menyeru kepada sahabat-sahabat yang sedang membaca Tinta Shila ini agar ambillah segala apa yang terjadi dalam kehidupan Shila sebelum ini sebagai satu teladan dan pengajaran.
Shila doakan kehidupan anda akan jauh lebih baik daripada Shila.
Dari Malaysia
merantau ke China
Derita sengsara
tanggung sendiri
Bumi mana lautan mana
Bumi Malaysia tetap dihati.
Terima kasih Malaysia!
Salam sayang dari Shanghai.
Wassalam."
Semoga Shila Hamzah sentiasa sukses.
0 comments: